November 8th, 2013


Barisan hadapan kelihatan Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar; Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Mohd Amin Jalaludin; Pemangku Pengarah UMCCed, Encik Abu Bakar Bin Hussin, Pemangku Pengarah UMCCed.


Majlis penutupan dua program iaitu Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Sesi 2011/2012 dan Diploma Sains Siasatan Sesi 2011/2012 yang dirasmikan oleh YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras.

Program pengajian ini merupakan kolaborasi strategik di antara Polis Diraja Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, kejayaan demi kejayaan telah dilakarkan dengan kerjasama universiti tempatan terutamanya UKM dan UM dengan menyaksikan bidang kepolisan di peringkat sarjana dan diploma telah mendapat akreditasi universiti antarabangsa dari United Kingdom.

Dalam ucapan Ketua Polis Negara, beliau mahu kedua-dua program akademik ini hendaklah mengaplikasikan kepolisan masyarakat ini sebagai alat serampang dua mata, iaitu untuk pencegahan jenayah dan hubungan yang lebih akrab antara polis dengan masyarakat. Kepolisan masyarakat yang efektif akan mewujudkan suasana selamat, harmoni dan perasaan kekitaan antara polis dan masyarakat.

Tambah beliau lagi, “Polis hendaklah sentiasa peka kepada kehendak masyarakat setempat. Umpamanya kepolisan di kawasan bandaraya adalah berbeza dengan kepolisan di kawasan pedalaman kerana kehendak-kehendak kedua-dua masyarakat adalah berbeza.”

Kursus pengajian Ijazah Sarana Sains Sosial kali ini telah melahirkan 23 graduan yang terdiri daripada 20 Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia dan 3 Pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu bagi Program Diploma Sains Siasatan telah berjaya melahirkan 32 Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, 3 Pegawai Kanan dari Brunei Darussalam dan 2 Pegawai Kanan dari Angkatan Tentera Malaysia.

Turut hadir di majlis, Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Wira Mortadza bin Nazarene, Pengarah Pengurusan PDRM, SAC Dr. Yew Chong Hooi, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr. Mohd Amin Jalaludin, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mostafa Kamal bin Mokhtar, Timbalan Dekan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Encik Abu Bakar bin Hussin, Pemangku Pengarah UMCCed; Dr Kuppusamy Singaravelloo, Timbalan Pengarah Akademik UMCCed; Encik Mohd Nasran Bin Abd Halim: Pengurus Program Akademik UMCCed, Puan Farinda Binti Abdul Ghani, Ketua Program AKademik ; Puan Noor Akidah Binti Abdullah Tahrin, Penolong Pengurus Program Akademik UMCCed, pegawai-pegawai dari Kedutaan Brunei dan Angkatan Tentera Malaysia, para pensyarah dan pegawai akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta pegawai-pegawai Maktab PDRM Kuala Lumpur.