Search

 Disember 12th, 2014



 

Pada 12-14 Disember 2014 yang lalu, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya UMCCed telah mengadakan projek tanggungjawab sosial (CSR) UMCCed Bersama Komuniti di Kampung Sungai Haji Dorani Sungai Besar, Selangor.

Seramai 30 orang pelajar dan 20 orang kakitangan UMCCed telah turut serta dalam program kemasyarakatan ini dan berkampung selama 3 hari 2 malam di Kampung Sungai Haji Dorani bagi memenuhi aturcara program.

Pada hari pertama program berlangsung, semua peserta yang terlibat dilepaskan dengan acara FlagOff yang bermula dari Bangunan Wisma RnD Kuala Lumpur. Sejurus selepas itu, peserta telah diiring oleh Polis Di-Raja Malaysia bermula dari sempadan Sekinchan sehingga ke lokasi program, Kampung Sungai Haji Dorani Sungai Besar, Selangor.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tajaan daripada Mi Sedaap, Karangkraf, Faber-Castell, minuman F&N dan juga barangan Kotex dari Kimberly-Clark.

Hari kedua program berlangsung, warga UMCCed berhimpun bersama-sama anak-anak yatim yang dibawa khas dari Asrama Anak-Anak Yatim Islam Sekendi, Sabak Bernam. Di samping itu, warga UMCCed bersama-sama komuniti desa di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor hadir memeriahkan suasana kampung dengan aktiviti makan rewang atau gotong-royong bersama-sama.

Team CSR II yang terdiri daripada barisan staf UMCCed dan pelajar bertolak ke Asrama Anak-Anak Yatim Islam Sekendi, Sabak Bernam untuk menjalankan urusan kemasyarakatan dan gotong-royong membersihkan asrama terbabit sementara sebahagian besar pelajar-pelajar lain berada di dewan aktiviti utama untuk tujuan sukaneka bersama anak-anak yatim.

Turut hadir ke program kemasyarakatan tersebut adalah YB Budiman Zohdi, ADUN Sungai Panjang bersama-sama Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya UMCCed, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mansor Md Isa bagi merasmikan program yang julung-julung kali diadakan. Kementerian Kesihatan Malaysia yang berpusat di Pejabat Kesihatan Negeri dan Hospital Teluk Intan juga turut hadir bagi menjayakan program yang telah dijalankan.

Hari ketiga program berlangsung, Team CSR telah menjalankan aktiviti membersihkan pantai di Batu 23, Sg. Nibong. Selain berekreasi, semua warga kerja dan pelajar UMCCed dapat mengeratkan ikatan silaturahim dengan aktiviti riadah yang menyihatkan seumpama ini.

Majlis penutupan program ini berlangsung pada tengah hari 14 Disember 2014 di mana sesi menyerahkan semula anak-anak angkat yang telah berkampung di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.